Dari hati seorang perempuan: Pandangan merentasi sempadan khatulistiwa, sedalam jurang Mariana, melewati lautan pasifik.
SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA
Monday, December 28, 2015
Awak...
Awak, saya rasa pelik, kenapa sejak kebelakangan ni status FB awak berbentuk gambar? Saya tak boleh baca tulisan tu. Saya rasa awak maklum akan kelemahan screen reader saya kan?
Ada kawan bacakan saya. Status awak, macam awak pasrah dan redha akan sesuatu. Dari tulisan-tulisan tu, saya rasa awak sakit. Betul ke awak? Awak sakit ke? Tapi sakit apa? Kenapa awak tak nak kongsi dengan saya? Kenapa awak mesti sembunyikan dari saya? Saya tahu, awak hanya mahu berkongsi senang je dengan saya. Awak tak nak susahkan saya. Tapi saya kawan dengan awak bukan untuk senang je. Mungkin saya tak boleh tolong awak macam awak tolong saya. Tapi saya ada cara saya untuk susah dengan awak. Tak perlulah awak berdiam diri. Sebab ni ke awak lukakan hati saya?
Sunday, December 27, 2015
Takdir Membawa Dukacita
2015 melabuhkan tirainya dengan tabir dukacita dalam hidup saya. Dengan satu kiriman Whatsapp, saya faham, peristiwa lima tahun lalu berulang. Masya-Allah... Dahsyatnya luka ini. Apa lagi luka di tempat yang sama.
Serasa seluruh tubuh saya ini dihiris dengan belati tajam. Tiada satu bahagianpun terkecuali. Sakitnya nauzubillah. Saya rasa ingin menggelupur untuk menahan bisanya. Saya ingin meraung, meratap dan menjerit, memberitahu isi dunia bahawa saya dalam kesakitan yang amat. Duduk, bangun, berdiri, berjalan, berlari tidak mampu mengurangkan pedih ini. Hanya Tuhan yang tahu betapa sakitnya saya. Pada siapa harus saya luahkan kesakitan ini? Siapa yang boleh menenangkan saya dalam keadaan saya bersendirian begini? Siapa yang boleh memeluk saya lalu menyalurkan kekuatan untuk saya terus bertahan? Siapakah yang boleh membisikkan kata-kata azimat buat merawat luka jiwa ini? Ya Allah, saya perlukan seseorang untuk berbicara, meluahkan rasa ngilu tak terperi ini. Telah separuh hari saya habiskan dengan menangisi apa yang berlaku. Mata mula membengkak dan kepala saya mula sakit dek kuat menghambur tangis. Tapi saya tak mampu untuk menahan tangis ini dari terus meledak. Saya tak kuat, Tuhan. Saya rasa saya tak kuat meskipun janjiMu, dugaan itu setimpal dengan kemampuan hambaMu. Saya cuba habiskan masa bersama tidur agar saya dapat berehat seketika dari perit ini. Tangisan yang saya bawa tidur pasti bersambung tatkala saya jaga dari lena. Kerana nyata itu membawa ingatan saya padanya, pada peristiwa ngilu itu.
Ya, aku ada Dia. Ada Dia yang sentiasa mendengar rintihan hambaNya. Lalu ajaran-ajaran azimat itu melarang saya dari meraung, menjerit... Kerana saya ada Dia. Ada Dia yang sentiasa menanti rintihan ciptaanNya.
Pedih, pedih dan pedih. Sampai saat entri ini ditulis saya masih mengacip gigi, menahan sakit yang amat. Saya tak tahu bila akan sembuhnya. Adakah dua tahun seperti kelukaan pertama dulu?
Innanillahi wainna ilaihi rajiun... Engkau merancang di atas, aku merancang di Bumi. Namun perancanganMu lebih hebat. Dan aku akur dengan takdirMu kerana usaha dan tawakal telah ku cucuri ke atas benih-benih perancanganku. Aku yakin, setiap kekecewaan yang Engkau suratkan, ia berlaku mengikut kehendakMu dan dalam masa yang sama, Engkau sedang membuat perancangan yang lebih baik buat hambaMu.
Semoga, sesuatu yang lebih baik akan Engkau berikan padaku sebagai hadiah daripada kelukaan ini. Sesungguhnya Engkau terlalu indah Tuhan, dan sentiasa ada kejutan buatku.
Saturday, December 26, 2015
Mungkinkah???
Naluriku merasakan bahawa, peristiwa lima tahun lalu akan berulang. Ya Allah, pedihnya luka ini. Apa lagi luka di atas luka. Pasti bisanya sukar diubati. Namun siapalah aku untuk menahan takdir? Aku mohon Tuhan, ikhlaskan hatiku untuk terima semua ini. Jadikan aku hamba yang redha dengan segala ketentuanMu. Yakinkan hati ini bahawa ketika ini Engkau sedang merancang sesuatu yang lebih baik buatku. Amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)