SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Thursday, July 5, 2012

Berembun Di Rumput Hijau

Beberapa hari lalu, sewaktu aku di kampung:

Mentari sedikit demi sedikit menjengah wajah dari jendela dunia, memancar cahaya buat seisi alam. Layaknya seperti pengantin perempuan yang malu-malu tatkala tutup mukanya dibuka perlahan-lahan. Saat itu, aku berehat-rehat setelah memandikan chek dan memakaikan baju. Chek yang tidak upaya bangun dan duduk sendiri ku angkat dan letakkan di atas kerusi roda. Alhamdulillah, aku diberi kekuatan oleh Allah untuk mengangkat chek walaupun keseorangan. Chek seperti biasa, berbicara dengan sesiapa sahaja yang ada di sekelilingnya. Chek meminta dipakaikan tudung. Kata chek, dia harus bersiap-sedia menanti abah. Sementara menanti abah, aku menyorong kerusi roda chek ke hadapan, di muka pintu yang tidak dibuka grail, pintu yang jarang kami gunakan untuk keluar masuk. Chek melihat panorama pagi dari balik pintu kaca yang dibuka dan dari balik grail bertutup rapat. Sesekali aku menemani chek dan sesekali beralih ke muka pintu utama, duduk di anjung rumah. Aku juga menanti abah.

Usai bersarapan, abah masuk ke bilik. Sejurus kemudian, abah keluar semula, lengkap dengan pakaian untuk ke pejabat. Abah lalu terus mendapatkan chek, menyorong chek ke anjung rumah, seterusnya turun ke halaman melalui ram. Kata chek, sepanjang chek tinggal di rumahku, itulah rutin pagi abah, membawa chek berembun di sekitar kawasan rumah.

Hari Jumaat:
Ketika aku duduk di anjung melihat abah membawa turun chek, abah mempelawa aku.

"Along nak ikut ke?" Tanya abah perlahan.
"Nak! Nak!" Aku menjawab girang.
"Jom," Aku seraya menutup kepala dengan tuala dan terus turun menyertai abah dan chek. Kami berjalan sepanjang jalan menuju jalan besar. Abah memberhentikan chek di suatu kawasan lapang yang menghijau. Abah melurutkan tangan di rumput untuk mendapatkan embun. Kemudian abah menyapu embun tersebut pada kaki dan tangan chek. Abah turut menyuruh chek memijak rumput tersebut. Setelah itu, abah menyorong lagi kerusi roda chek ke kawasan lain pula. Abah suka mencari rumput yang berlainan jenisnya. Sambil itu, kami berbual-bual tentang rumput, tentang penyakit dan lain-lain.

Ya Allah, aku bersyukur kerana Engkau memberikan aku abah seperti ini. Tercuit juga rasa bangga di hati dengan keprihatinan abah terhadap chek. Meskipun chek bukan keluarga dari sebelah abah dan biarpun abah berjawatan dalam kerjayanya, abah tetap meluangkan masanya untuk chek. Malah mami memberitahuku, sebelum aku pulang, abah banyak pulang ke rumah waktu pejabat semata-mata risaukan chek. Bukan itu sahaja, sepanjang chek berada di rumah kami, abah turut mengambil cuti pada hari-hari tertentu untuk membawa chek berurut meskipun terpaksa memandu kereta hampir dua jam ke rumah tukang urut.

Abah, sesungguhnya abah contoh terbaik bagi kami adik-beradik. Semoga kami mencontohi abah untuk menjaga generasi lama terutamanya abah dan mama.

Abah tak banyak cakap, tapi sentiasa komited dan bertanggungjawab atas setiap kerja yang dilakukan. Mungkin kerana itulah orang bawahan abah segan dengan abah menurut cerita mama.