SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Monday, December 23, 2013

Putera Gunung Tahan! Menjadikan impian Gunung Tahan Suatu Kenyataan

Tiba-tiba hari ni hati terasa amat rindu kepada Gunung Tahan yang ku tawan enam tahun lalu. Alkisahnya bermula semasa aku di tingkatan lima dahulu. Masa tu, pelajar tingkatan 4 dan 5 diwajibkan belajar Komponen Sastera (KOMSAS) dalam matapelajaran Bahasa Melayu. Kebetulan, novel pilihan sekolah aku untuk pelajar Tingkatan Lima, Putera Gunung Tahan. Mula-mula dengar tajuk tu, nak ketawapun ada. Putera Gunung Tahan? Kenapalah watak utama dia putera, bukan puteri? Kalau puteri kan bes, bolehlah aku berangan jadi Puteri Gunung Tahan tu. Macam tak percaya pulak, novel macam ni ditulis oleh sasterawan negara. Lepas baca novel tu, baru aku tahu, ada makna tersirat di sebalik 'hikayat' Putera Gunung Tahan ni. Bagi aku, inilah novel subjek di sekolah yang paling bes dan aku minat sehinggakan aku memasang angan-angan untuk mendaki Gunung Tahan. Aku ingin merasai sendiri keindahannya, ingin merasai kesusahan untuk ke puncaknya dan ingin merasai nikmatnya berada di puncak hasil daripada kesusahan tersebut. Tapi... Adakah peluang untuk aku berbuat demikian? Ianya memerlukan keyakinan orang kepadaku sedangkan aku sendiripun tidak yakin untuk melakukannya. Itu belum lagi faktor masa dan kewangan. Lalu, aku membuat kesimpulan yang aku hanya mampu berangan dan menawan puncak Gunung Tahan dalam lenaku. Saban malam, aku ditemani mimpi-mimpi indah di puncak Gunung Tahan yang tidak bisa ku gapai di alam rialiti. Namun hati tetap meronta-ronta mencari peluang itu meskipun mustahil untuk dizahirkan.