SELAMAT DATANG KE SURIA KHATULISTIWA

Wednesday, September 12, 2012

Berani Tapi Takut

Aku tak faham dengan sesetengah orang. Dia orang ada alasan, ada hujah, tapi takut untuk menyatakan pendirian dia orang. Kat belakang berani pulak. Tak gentle la macam tu.

Tuesday, September 11, 2012

Motosikal Di Awal Pagi

Arahan diterima. Tinta bertugas menjaga press di Rawang. Perlu sampai di pejabat sebelum 7.30 pagi. Alamak! Ini yang tak sedap didengar ni! Maknanya 6.30 dah kena naik LRT. Ish! Tak boleh jadi ni.

Hati melonjak kegembiraan apabila Abang M setuju nak hantar. Tapi kereta dia tak ada, masuk wad. Kenalah naik moto. Siap warning aku jangan pakai kain. Ish! Takkanlah aku nak pakai kain. Tu gedik namanya. Punctual mamat ni, 6.45 dah standby kat depan rumah aku. Terima kasih, Abang M, jasamu dikenang.

Friday, September 7, 2012

Lebah Merubah Segalanya

Seawal jam 5.20 pagi, IPhone di sebelah bantal sudah mula mengetuk loceng klasik. Sekali dengar macam loceng di Dataran Merdeka bunyinya. Aku mematikannya lalu bermalas-malasan di atas katil sambil diapit bantal peluk dan bantal bulu angsa kesayanganku. Selimut juga masih membaluti badan dingin. 10 minit kemudian, jam lampu tidur, hadiah pemberian Jeb pula berbunyi. Ah! Ini tak boleh jadi ni. Aku mesti bangun sekarang, kalau tak, nak mandi, nak pakai itu dan ini nanti lewat. Aku bangun dengan riang. Sambil menyanyi-nyanyi ku mainkan himpunan Anugerah Juara Lagu Siti Nurhaliza di youtube Iphone. Mood aku ceria je pagi ni.

Tapi... Ketika aku mahu ke pejabat, lebah yang setiap hari menghurung lampu rumahku menyengat kakiku. Aduh! Sakitnya! Nasib baik sengatnya dapatku keluarkan. Sudahnya mood aku terbang begitu saja dengan bengkak dan sakit di kaki. Nurse dan doktor kat sebelah office aku ni pun dah tak tahu nak kata apa. Bulan ni je dah empat kali aku kena sengat. Itu yang pergi jumpa dia, yang tak? Nasib badan.

Wednesday, September 5, 2012

Bingkisan Dari Jogjakarta, Indonesia 3

Kembara di kota seni budaya, Jogjakarta diteruskan lagi. Hari ketiga di Bumi bersejarah ini, kami terus berkelana menelusuri tinggalan sejarah agung peradaban Jawa silam yang masih kekal hingga ke hari ini. Setelah bersarapan dan berkemas, kami langsung di bawa oleh super ke Keraton Hadiningrat, Jogjakarta di mana keraton ini merupakan tempat wajib dilawati oleh setiap pelancong. Keraton ini adalah kediaman rasmi bagi kesultanan Jawa yang memerintah Jogjakarta. Keraton ini mula dibina pada zaman pemerintahan Sultan Hamengku Buwono I dalam tahun 1755. Lawatan kami di Keraton ini ditemani oleh Ibu Dewi yang menghambakan dirinya buat keraton dan sultannya. Kata Ibu Dewi, kehambaannya adalah ikhlas buat sultan dan ia ingin mencari ketenangan di situ.

Keraton ini menempatkan alat-alat kebesaran sultan, gambar-gambar sultan dari sultan pertama hingga ke sultan ke-10 (sultan masa kini), pakaian rasmi sultan, gamelan, hadiah-hadiah daripada kerajaan Eropah dan replika tinggalan pusaka keraton. Namun daripada cerita Ibu Dewi, jelas menunjukkan beliau amat mencintai sultannya terutamanya sultan ke-9. Apa yang menariknya, Keraton ini sentiasa dipenuhi dengan nyanyian dan tarian yang diiringi muzik tradisional Jawa. Tapi, aku agak terkilan kerana tidak sempat untuk mengunjungi Taman Sari di mana tempat para puteri bersiram.

Tengahari itu, kami makan tengahari di restoran padang. Terlalu banyak lauk yang dihidangkan. Di sinilah aku mengenali daging Dinding. Daging Dinding diperbuat daripada daging lembu yang direbus dan ditumbuk. Kemudian daging tersebut digoreng rangup bersama sambal yang enak.

Setelah selesai Solat Zuhur, kami meneruskan lawatan ke Candi Borobudor yang terletak di Daerah Magelang, Jawa Tengah, Indonesia. Candi yang selama ini aku pelajari dalam mata pelajaran sejarah, yang sering disebut-sebut oleh Cikgu Irdawati, guru sejarah sewaktu di tingkatan satu dahulu. Macam tak percaya, akhirnya aku menjejakkan kaki di candi ini. Menurut pemandu pelancong kami, candi ini dibina tanpa tampalan simen. Maknanya, kekukuhan candi ini hanya dengan batu-batuan yang saling bertaut antara satu sama lain. Oh ya, sebelum kami dibenarkan melawat candi ini, kami diberikan kain sarung batik sehelai setiap seorang. Kami diminta untuk mengikat kain tersebut pada pinggan. Dinding candi ini dilukis dengan pelbagai lukisan dan setiap lukisan mempunyai cerita yang tersendiri. Kisah-kisah mahabrata, ramayana pastinya tidak asing lagi pada pendengaran kita, turut diabadikan di sini buat tatapan generasi demi generasi. Selain itu, lukisan dinding turut menceritakan tentang balasan kebaikan dan kejahatan bagi manusia yang melakukan kebaikan dan kejahatan. Menurut pemandu pelancong kami lagi, anggota badan patung di candi tersebut banyak yang hilang kerana dicuri sewaktu penjajahan Belanda dahulu. Pelikkan? Tangan dan kepala patung batupun mereka nak curi. Ada juga bahagian badan patung tersebut dibawa pulang ke Belanda. Pemandangan sekitar candi ini amat mempesonakan dengan berlatarbelakangkan Gunung Merapi dan beberapa gunung kecil lainnya. Candi yang dibina antara tahun 770-825 Masihi semasa pemerintahan Raja Salendra ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai salah satu daripada tapak warisan dunia.

Semasa dalam perjalanan ke tempat pakir kereta, kami diserbu oleh para penjaja yang menawarkan kami pelbagai barangan. Kesian mereka, tapi bagaimana harus aku membeli sekiranya terlalu ramai yang mengejar kami?

Destinasi terakhir kami di Kota Jogjakarta sebelum ke Bandar Solo adalah Gunung Merapi. Ada sedikit perasaan gerun untuk menjejakkan kaki ke Merapi lantaran tragedi letusan gunung tersebut. Tawakaltu Alallah! Insya-Allah segalanya selamat. Jalan ke Gunung Merapi berbengkang-bengkok dan ada waktunya kami terpaksa melalui curam dan lembah. Lebih kurang jam 6.00 petang, kami tiba di kaki Gunung Merapi. Suasananya aman, nyaman dan dingin dengan hembusan angin gunung semilir membuai rasa, menyapu pipi dan mengelus tubuh. Memandangkan masa yang terlalu singkat, kami memilih untuk menyewa kojek (motosikal) untuk naik ke atas iaitu ke kawasan rumah Embah Marijan, jurukunci Gunung Merapi yang terkorban dalam tragedi Letusan Gunung Merapi 2010. Pak Muji, penunggang motosikal yang aku naiki amat prihatin padaku. Sentiasa memimpin dan menjaga aku meskipun aku berjalan bersama rakanku.

Kami melihat sebuah van yang telah hangus terbakar sewaktu peristiwa letusan tersebut. Van tersebut tersadai berhampiran rumah Embah Marijan. Van tersebut juga dipercayai ditugaskan untuk membawa Embah Marijan turun. Namun, Embah Marijan terlebih dahulu ingin solat Maghrib di rumahnya sebelum turun. Walau bagaimanapun, janji Allah telah tiba, Embah Marijan terkorban sewaktu sujud ketika mengerjakan Solat Maghrib. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diberi keampunan. Amin. Rumah Embah Marijan turut musnah dalam nahas dua tahun lalu. Kami turut dibawa ke batu besar yang hitam. Menurut kata penunggang-penunggang kojek, batu besar itu jatuh dari puncak gunung sewaktu ledakan berlaku. Kata mereka lagi, setelah lima hari jatuh, batu itu masih lagi berasap. Subhanallah! Betapa Allah itu berkuasa menjadikan apa-apa yang dikehendakiNya. Dalam perjalanan kami ke batu tersebut, kami melalui sedikit curam. Menurut Pak Muji, curam yang kering kontang seperti tanah sekitar dahulunya, adalah sebuah anak sungai yang mempunyai air mengalir. Akibat ledakan gunung Merapi, anak sungai itu kini kering dan tiada langsung tanda bahawa di situ pernah wujud sebatang anak sungai. Sudahlah tanah yang kami pijak bersama batu-batu kecil di sepanjang perjalan kami di gunung itu berwarna hitam. Kami dikejutkan dengan batu besar yang hitam. Besar batu itu, lebih tinggi daripadaku yang berketinggian 160 CM malah, aku mengangkat tanganku tinggi ke ataspun, aku tidak mampu menyentuh puncak batu tersebut. Apabila aku mendepakan kedua-dua belah tanganku, aku jua tidak mampu memegang hujung batu tersebut. Lantas, aku mengelilingi batu tersebut sambil diawasi Pak Muji. Masya-Allah, betapa besarnya batu itu. Betapa kuatnya ledakan gunung berapi tersebut sehingga mampu mengeluarkan batu sebesar itu daripada perut Bumi. Tidak terkata aku dengan keajaiban Allah ini. Aku segera menginsafi betapa kerdilnya aku sebagai manusia. Ya Allah, aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan untuk memuji kekuasaanMu, Tuhan! Sayu dan syukur segera menyelinap hati dan sanuvbaiku.

Seterusnya, kami singgah solat Asar dan seterusnya Maghrib di surau berhampiran rumah Embah Marijan. Surau ini jua turut musnah dalam tragedi letusan lalu. Namun, surau itu tidaklah musnah semuanya. Ia masih boleh digunakan untuk solat. Wow! Betapa dinginnya air gunung yang kami gunakan untuk berwuduk. Dalam remang langit senja, kami turun ke kaki gunung dengan menaiki kojek. Setelah salam perpisahan diucap, kami meneruskan perjalan ke Solo. Lebih kurang jam 9.00 lebih malam waktu tempatan, kami tiba di Cakra Home Stay.

(Nantikan perincian tempat-tempat dilawati dalam entri-entri akan datang)